Kebenaran Petua
Hari ini hari raya ketiga raya korban 2026, aku pulang ke kampung belah isteri aku di Gate 3, Rantau Panjang. Setelah lama merancang, hari ini lepas Solat Jumaat akan di adakan sedikit kenduri Aqiqah Dan Solat hajat. Alhamdulillah, ramai sanak saudara yang hadir dan semuanya berjalan dengan lancar.
Dalam kekalutan hari ini, ada peristiwa atau sesuatu perkara yang memberi kesan agak mendalam walaupun, ia sekadar satu selingan sewaktu merewang, Bila ada perkataan Aqiqah dengan conferm, mesti ada juadah kambing dalam kenduri kali ini. Ibu mertua aku, secara tidak rasmi di lantik sebagai ketua jurum asak atau ketua dapur kenduri kali ini, dari malam semalam lagi, dia duduk menyiapkan pucuk paku untuk di jadikan juadah sampingan, tak silap aku "kerabu pucuk paku" nama menu tersebut.
Awal- awal pagi lagi, aku di beri tugasan untuk mencuci daging kambing untuk dimasak gulai kawah, tak lupa juga ada beberapa kilo daging lembu dan sedikit tulang lembu untuk di masak di jadikan sup dan gorengan. Memang menjadi kewajipan, menu utama wajib, di masak terlebih dahulu. Maka tanpa melengahkan masa, kami menyiapkan tungku tempat memasak, kami alas dengan batu-bata untuk dijadikan tapak, bukan apa, kalau tidak diletakkan batu bata, kawah yang akan di gunakan untuk memasak akan mudah jatuh, tidak stabil kerana kawah yang di gunakan agak besar, dan tapak atau dapur memasak agak kecil, apa bila kita nak mengacau kawah tersebut, kawah tersebut kurang stabil. Setelah memasukan, daging kambing, dan air daging kambing mulai mengering, kami masukan pes gulai kawah yang telah di siapkan sebelum, yang dimasak hampir 5 jam, proses mengacau di teruskan tanpa henti.
Hampir 2 jam telah pun berlalu, proses gulai kawah kambing dah hampir 50% telah pun siap, dalam masa yang sama, ada yang menggoreng ayam, untuk di jadikan ayam masak merah, dan tidak lupakan, air rebusan tulang daging lembu telah pun di tambah kerana air telah pun berkurangan dan daging masih belum lagi empuk, Ayam yang di goreng telah pun di saluti sambal dan boleh di hidangkan kepada para tetamu. Kacau-punya kacau tidak sedar hampir 3 jam telah pun berlalu, sekarang masanya untuk menyediakan daging goreng kunyit, masukkan hirisan daging terlebih dahulu, sebelum memulakan gorengan pastikan air yang keluar dari daging kering terlebih dahulu.
Jam menunjukan pukul 12 tengah hari, sepatutnya daging kambing mulai empuk, namun sebaliknya yang berlaku, daging kambing lagi keras seakan-akan baru sejam memasak, masa ni la, semua mulai tertanya-tanya dan kehairan macam mana dan kenapa daging kambing masih lagi keras. Ibu mertua aku, selaku ketua dapur mula menghitung waktu memasak, sepatutnya kalau mula masak pukul 9 pagi, waktu-waktu sebegini daging dah empuk, kalau di biarkan lagi kuah gulai akan terus mengering, ibu mertua aku mengambil keputusan untuk menambah sedikit air, aku rasa tak macam sedikit, sebab banyak kali, ibu mertua aku menambahkan air, asal kuah gulai mulai mengering, ditambahnya air. Yang paling pelik, sup daging tulang lembu telah empuk dan boleh dimakan, namun yang peliknya daging kambing ni, masih keras dan liat.
Semua mata, tertumpu ke arah gulai kawah daging kambing tersebut. Ada yang berseloroh, mungkin ada yang baca-baca sewaktu mengacau atau sewaktu membasuh daging tersebut, menyebabkan daging kambing tersebut tidak mahu empuk. kami gelakkan saja, bukan apa, nak mehilangkan kerisauan masalah yang sedang berlaku dihadapan mata. Sebagai ketua dapur, ibu mertua aku meminta buah fikiran atau apa-apa petua untuk melembutkan daging kambing, kalau daging lembu aku tahu la caranya, tambah sahaja "T" perkataan lembu kalau di tambah "T" kan jadinya lembut. Kalau kambing nak jadi lembut ni, aku belum belajar lagi. Bukan tak tahu, tapi kita yang muda, perlu banyak memerhati dan belajar dari yang lebih berpengalaman. Bapa saudara aku mulakan petua yang pertama, dia cakap dia pernah tengok orang letak biji kurma. Maka dia berjalan pulang dan membawa 7 biji buah kurma, dan masukan kesemua buah kurma tersebut dalam gulai kawah. Tidak cukup dengan, tiba-tiba ibu saudara aku turun hendak mengambil barang, tujuan asalnya, setelah di ceritakan daging belum empuk, dia pernah melihat di media sosial, orang meletakkan daun manggis atau daun nangka untuk melembutkan daging, bapa saudara aku sekali lagi, pulang ke rumah dan membawa beberapa helai daun manggis dan nangka dalam genggaman. Lalu di masukan kedalam gulai kawah.
kacau punya kacau, ada yang bercerita, sebelum ini pernah ada seorang tukang masak yang memasukan sesuatu yang tidak logik di akal di dalam gulai, dengan tujuan melembutkan daging, dia masukan beberapa keping mozek. Bagi aku itu sebagian dari cerita rakyat, tapi cerita itu ada benarnya kerana saksi hidup masih lagi ada dan mengiakan perkara tersebut.Alhamdulillah, tidak berselang lama, daging kambing masak gulai kawah benar-benar empuk, ibu mertua aku melakukan sedikit touch-up, dengan memasukkan buah ara dan ekjusment dari sudut rasa, pastikan masin, manis semuanya dalam keadaan terbaik. Waktu itu lah, aku baru teringat yang aku pernah melihat ada orang kampung yang meletakkan ais di awal-awal proses memasak dengan tujuan melembutkan daging.
Semuanya telah pun lalu dan gulai kawah tersebut telah pun habis, Persoalanya kini, yang bermain di fikiran, petua manakah yang betul-betul memberi kesan? sama ada biji kurma ? daun pokok nangka ataupun daun pokok manggis. Ada juga petua yang memasukan sudu di dalam gulai untuk melembutkan daging. Dan yang paling ekstrem sejauh mana kebenaran memasukam mozek untuk untuk melembutkan daging.





Comments
Post a Comment